Tuesday, June 3, 2014

POLITIK DI LUAR KOTAK

Kuala Lumpur - 3hb June 2014
POLITIK DI LUAR KOTAK
Politik berskala
Rakyat menentukan siapa yang berkuasa dalam politik” satu kepercayaan umum dan alasannya adalah rakyat yang akan menentukan dalam proses pilihanraya wakil yang akan dipilih. Walau pun begitu satu topik iaitu “Siapa yang sebenarnya yang berkuasa dalam skala kuasa politik” sentiasa diperkatakan. Sentiasa ada berpendapat bahawa ahli-ahli parti politik lah yang berkuasa kerana mereka yang menentukan “siapa yang sewajarnya mendapat apa, bila dan bagaimana.” Persoalan terus menjadi tanda tanya.
Dalam sains politik hal di atas dikategorikan sebagai pengagihan skala kuasa politik di mana ia melibatkan beberapa pengagihan dalam kuasa politik melalui beberapa aliran tertentu di antaranya:-
  1. Pluralisme Politik (penglibatan banyak pihak dalam pengagihan kuasa politik)
  2. Elit Politik (Kuasa diagihkan oleh kumpulan kecil namun mempunyai keistimewaan)
  3. Marxis (Kuasa politik dikawal oleh perniagaan gergasi)

Pluralistik
Aliran ini mellihatkan tiada mana mana kumpulan yang dianggap mentadbir kerajaan di negeri ini. Sebaliknya, segala keputusan penting mengenai polisi negara dibuat oleh pelbagai kumpulan berbeza yang terdiri daripada kalangan menteri-menteri tertentu, NGO, perwakilan perti, golongan ulama, kumpulan pemikir yang terdiri daripada professional muda, pendidik dan sebagainya. Parti-parti politik dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan tersebut.
Namun begitu tiada satu pun diantara kumpulan-kumpulan tersebut berupaya memberi arahan kepada orang lain dan kumpulan-kumpulan itu hanya berupaya melindungi kepentingan masing-masing dari sudut reality. Ini dapat dilihat melalui perhimpunan-perhimpunan agung yang diadakan, beberapa isu yang penting diabaikan dan tidak dipertimbangkan hanya semata-mata untuk menjaga kepentingan masing-masing dan parti.

Elitis
Satu kumpulan kecil yang berada di bawah dagu Perdana Menteri yang turut “mengendali” dan “mentadbir” kerajaan. Kumpulan yang terdiri daripada ketua-ketua syarikat-syarikat perniagaan besar, termasuk perbadanan Negara, individu-individu tertentu pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan sector pertahanan, serta beberapa ahli politik kanan dan bebas ahli politik yang masih berpengaruh.
Kumpulan ini mempunyai kepentingan dalam parti-parti politik kerajaan dan kerana itulah mereka digelar kumpulan istimewa. Urusan rasmi mereka tidak hanya di pejabat tetapi turut di kediaman pemimpin-pemimpin tertinggi semata-mata menyelesaikan kerja-kerja rasmi yang masih tertangguh.

Pendominasi Ekonomi
Dan kumpulan yang ketiga terdiri daripada ahli-ahli perniagaaan dan syarikat-syarikat korporat yang berkuasa, yang benar-benar menguasai negara. Parti-parti dominan dalam kerajaan di kuasai oleh ketua-ketua pentadbir syarikat yang menyaksikan urusan pemerintahan Negara dikendalikan dan ditangani dalam cara agak sehala dengan strategi perniagaan dilaksanakan.
Membolehkan hala-tuju corak pemerintahan Negara pada peringkat eksekutif, atau pembuat keputusan membuktikan mereka ini adalah kumpulan yang terkuat dan berkuasa. Namun begitu pengaruh kumpulan ini bergantung kepada jangka hayat politik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dan seperti biasa hanya orang yang bijak sahaja akan dapat melepasi tindakan cantasan politik semasa apabila kepemimpinan tertinggi Negara bertukar orang..
Dengan system politik yang mempunyai budaya, peraturan dan undang-undang tersendiri dan dapat menyakinkan rakyat membuat sesiapa yang “berkuasa” secara politik tidak pernah dipersoalkan. Ini dikukuhkan lagi dengan penerimaan secara dasar oleh ahli parti politik bahawa siapa yang patut berkuasa dan siapa yang patut sekadar mengikut dan seterusnya begitu juga mereka yang menentukan sama ada sesuatu agenda bangsa itu releven atau tidak pada masa dalam konteks siapa sebenarnya yang berkuasa.

Dan dalam soal kematangan politik ia juga melibatkan beberapa unsur-unsur asas antaranya:-
  1. Ciri-ciri profersional yang ditunjukkan oleh ahli politik dan pentadbir kerajaan dalam sama-sama menyokong sistem semasa. Walaupun ada diantaranya yang tidak memahami secara menyeluruh mengenai sistem dan hanya sokongan penuh terhadap parti dan kerajaan.
  2. Keupayaan untuk menjiwai prinsip demokrasi asas di kalangan semua pengamal dan peserta dalam sistem politik.
  3. Menerima factor kepelbagaian dalam sistem politik (pandangan, pendekatan dan kepercayaan)
  4. Dan yang perlu dipastikan adalah keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kepimpinan dan sistem semasa secara sepenuhnya.

Kuasa media dalam politik
Ada yang berpendapat media masa kini salah satu senjata yang terulung buat para pemimpin. Jika anda menguasai media anda pasti menguasai rakyat. Kenyataan ini tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan sesiapa tetapi kuasa media dalam era moden ini memberi impak yang besar buat parti politik.
Antara pengaruh media adalah:-
  1. Keupayaan untuk mencetuskan emosi dan seterusnya melahirkan pertimbangan dan tindakan seperti dalam bentuk keputusan dan pendirian politik.
  2. Panduan unsur-unsur budaya yang mengakrabkan individu dengan sesuatu yang mungkin dalam bentuk sentimental yang membuai-buai perasaan dan mencetuskan emosi.
  3. Boleh menyakinkan pembaca, pendengar bahawa berita itu sememangnya “berita” dan bukannya “fiksyen”.
  4. Penggunaan mengejutkan dan di luar jangkaan.
  5. Keupayaan sesuatu berita untuk terus kekal sebagai berita.
  6. Kebijaksanaan media mengambarkan sesuatu berita dengan cara berimbang dan rasional serta dapat dipercayakan.
Dalam mana-mana Negara sekalipun media memainkan peranan yang sangat besar dan tidak boleh diketepikan. Pengaruh media dalam konteks budaya politik dalam lingkungan sistem politik menjadi bukti kekuatan pengaruh media. Tidak hairanlah jika dikatakan Kuasa media bersamaan dengan kuasa memiliki bom atom. Bila-bila masa sahaja boleh mencetuskan perbalahan atau persengketaan.
Budaya politik masa kini makin dinamis dengan adanya gabungan internet dan kelebihan media cetak. Seharusnya pembingkaian yang dibuat terhadap sesuatu berita seharusnya menonjolkan peristiwa atau isu yang mengaitkan dengan teliti dan beradab untuk mencetuskan pentafsiran dan penilaian yang murni dan berimbang. Seharusnya peranan media begitu melainkan hal itu disepakati dan diamalkan segera, budaya politik konteks sistem politi dan politik Negara ini akan diragui kandungan dan hala-tujunya.

Mengenai kebebasan
Kebebasan” juga boleh dijadikan senjata. Jika anda yang mengawal anda pasti boleh memerintah.
Kerajaan yang bersifat tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat manusia akan mengawal perkara dibawah:-
  1. Unsur-unsur ketakutan diamalkan ke atas rakyat.
  2. Pengawalan ke atas tiga cabang pemisahan kuasa iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman yang mengandungi unsur-unsur kesangsian.
  3. Tekanan melampau ke atas pihak pembangkang.
  4. Ketiadaan ruang untuk meluahkan pemikiran secara terbuka.
  5. Penubuhan akta yang memudahkan penangkapan di lakukan.
  6. Memainkan sentiment perkauman, agama.
  7. Mengawal proses pembelajaran.
  8. Pengawalan media sepenuhnya.

Pengawalan ke atas golongan muda juga boleh menjadikan tiket untuk terus berkuasa pada masa hadapan. Jesteru daripada itu tidak hairanlah ada jika kerajaan sanggup merasuah golongan muda dengan pelbagai tarikan aktiviti “budaya pesta-pestaan” dan bukannya menggunakan aktiviti-aktiviti pendidikan dan kebebasan. Dengan pelbagai aktiviti hiburan diadakan dapat menjauhkan golongan muda daripada mendalami ceritera politik Negara.
Maka dengan demikian akan lahirkan golongan muda yang sentiasa leka dengan hiburan dan tidak memikirkan tentang hala tuju masa depan politik Negara. Begitulah kehendak yang memegang kuasa agar terus dapat memerintah, pemikiran di kunci dengan hiburan pasti tidak berupaya untuk menyuarakan hak dan terus menjadi hamba kepada pemerintah.

No comments: