Thursday, October 31, 2013

PEMIKIRAN LIBERAL

Kuala Lumpur
31 okt 2013


Liberalisme ialah falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Seseorang yang menerima fahaman liberalisme dipanggil seorang liberal. Walau bagaimanapun, maksud perkataan liberal mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara.
Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta Kesamarataan peluang. Dalam fahaman liberalisme, pelbagai aliran dengan nama "liberal" mungkin mempunyai dasar dan pandangan yang berlainan, tetapi secara umumnya aliran-aliran ini bersetuju dengan prinsip-prinsip berikut termasuk kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian, pasaran bebas dan ketelusan sistem pemerintahan. 
Mereka yang liberal menyokong sistem kerajaan demokrasi liberal dengan pengundian yang adil dan terbuka, di mana semua rakyat mempunyai hak-hak yang sama rata di bawah undang-undang.
Fahaman liberalisme moden berakar umbi dari Zaman Kesedaran Barat dan kini mengandungi pemikiran politik yang luas dan kaya dari segi sumber. Liberalisme menolak kebanyakan tanggapan asas dalam hampir semua teori pembentukan kerajaan awal seperti seperti hak-hak raja yang diberikan oleh tuhan, status yang berasaskan keturunan dan institusi-institusi agama. 
Liberal beranggapan sistem ekonomi pasaran bebas lebih cekap dan menjana lebih banyak kemakmuran.
Negara liberal moden awal adalah Amerika Syarikat, yang didirikan di bawah prinsip "setiap manusia diciptakan sama taraf; bahawa mereka diberi pencipta mereka hak-hak yang tidak boleh dinafikan; bahawa antara ini adalah kehidupan, kebebasan, dan mengejar kebahagiaan; bahawa untuk melindungi hak-hak ini, kerajaan dibuat oleh manusia, yang menggunakan kuasa mereka secara adil dengan izin mereka yang diperintah."

Aliran-aliran liberalisme

Terdapat perbezaan pendapat yang mendalam di dalam rangka liberalisme. Perbezaan pendapat ini selalunya membawa kepada perdebatan yang hebat dan garang di antara ahli-ahli liberal. Daripada perpecahan ini dari sudut liberalisme klasik, wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Seperti di dalam banyak perdebatan, kumpulan-kumpulan yang bertentangan menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza untuk menyatakan kepercayaan-kepercayaan yang sama dan kadang-kala, mereka menggunakan perkataan-perkataan yang sama untuk menerangkan perkara-perkara yang berbeza. Di dalam artikel ini, "liberalisme politik" akan digunakan untuk sokongan terhadap demokrasi liberal (republik ataupun raja berperlembagaan) yang menentang raja berkuasa mutlak atau diktator; "liberalisme budaya" untuk sokongan terhadap kebebasan peribadi yang menentang undang-undang yang mengongkong kebebasan di atas dasar nationalisme atau agama; "liberalisme ekonomik" untuk sokongan terhadap harta peribadi and menentang peraturan-peraturan yang mengekang hak-hak terhadap harta peribadi yang ditulis oleh kerajaan; dan "liberalisme sosial" di mana ia menunjukan sokongan terhadap kesaksamaan and menentang ketidak samarataan peluang. Bagi "liberalisme moden" pula bermaksud campuran bentuk-bentuk liberalisme yang tercatat sebelum ini yang boleh ditemui di negara-negara maju sekarang.

Terdapat beberap prinsip liberalisme yang telah dipersetujui di kalangan liberal:
 

Liberalisme politik adalah aliran di mana seseorang itu adalah asas undang-undang dan masyarakat. Tambahan lagi, masyarakat dan institusi-institusi kerajaan yang wujud di dalam masyarakat berfungsi untuk memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih kepada sesiapa yang mempunyai taraf sosial yang tinggi. Magna Carta adalah satu contoh di mana dokumen politik meletakkan hak-hak peribadi lebih tinggi daripada kuasa raja. Liberalisme politik menekankan perjanjian sosial yang mana rakyat merangka undang-undang and bersetuju untuk mematuhi undang-undang tersebut. Ini adalah berdasarkan pemikiran di mana seseorang itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Liberalisme politik mengandungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum atau taraf ekonomi. Liberalisme politik juga menekankan kedaulatan undang-undang dan demokrasi liberal.
 

Liberalisme budaya menekankan hak-hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan pelindungan dari campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi. John Stuart Mill menyatakan dengan tepat di dalam eseinya yang bertajuk On Liberty:

"Pelindungan diri adalah satu-satunya tujuan manusia yang benar dari segi peribadi dan masyarakat ke atas campur tangan di dalam kebebasan orang-orang lain. Kuasa tertinggi yang benar hanya boleh digunakan untuk menghalang seseorang dikalangan satu masyarakat yang bertamadun daripada mengganggu [atau mencederakan] seseorang yang lain. Kebaikan fizikal atau moral seseorang itu tidak mencukupi untuk membiarkan dia mengganggu orang lain." (Di dalam bahasa Inggeris: "The sole end for which mankind are warranted, individually or collectively, in interfering with the liberty of action of any of their number, is self-protection. That the only purpose for which power can be rightfully exercised over any member of a civilized community, against his will, is to prevent harm to others. His own good, either physical or moral, is not a sufficient warrant."
 

Liberalisme budaya secara umumnya menentang peraturan-peraturan kerajaan di dalam kesusasteraan, seni, akademik, perjudian, seks, pelacuran, penguguran kandungan, penggunaan pengawalan pengandungan, kesakitan muktamad, arak, ganja dan barang-barang kawalan yang lain. Kebanyakan ahli-ahli liberal menentang separuh atau semua peraturan-peraturan kerajaan yang mencampuri hal-hal ini. Negara Belanda, dari segi liberalisme budaya, mungkin adalah negara yang paling liberal di dunia.

Walaupun terdapat persetujuan, sesetengah aliran memaparkan berbezaan pendapat yang mendalam:
 

Liberalisme ekonomik yang juga dikenali sebagai liberalisme klasikal atau liberalisme Manchester adalah satu ideology yang menyokong hak-hak peribadi ke atas harta benda dan kebebasan perjanjian bertulis. Ia memperjuangkan kapitalisme laissez-faire yang mahu membuang semua halangan terhadap perdagangan dan pemberhentian kemudahan yang diberi oleh kerajaan seperti subsidi dan monopoli. Ahli-ahli liberal ekonomik mahu hanya sedikit atau tiada langsung peraturan-peraturan kerajaan di pasaran. Sesetengah mereka menerima halangan kerajaan ke atas monopoli dan kartel dan sesetengah yang lain menyatakan bahawa monopoli dan kartel disebabkan oleh tindakan kerajaan. Liberalisme ekonomik menyatakan bahawa harga barangan dan perkhidmatan harus ditentukan oleh pasaran yang sebenarnya ditentukan oleh tindakan-tindakan pengguna. Ada yang mahu melihat kuasa pasaran bertindak di kawasan-kawasan yang biasanya dimonopoli oleh kerajaan seperti keselamatan dan mahkamah. Liberalisme ekonomik menerima ketidak samarataan sebagai hasil semulajadi daripada persaingan yang tidak melibatkan ugutan yang mengacam hak-hak peribadi. Aliran liberalisme ini dipengaruhi oleh liberalisme Inggeris yang merebak di pertengahan kurun ke-19. Minarchisme dan anarcho-kapitalisme adalah antara bentuk-bentuk liberalisme ekonomik. Baca juga perdagangan bebas, neo-liberalisme dan liberalisasi.
 

Liberalisme sosial atau liberalisme baru (tidak patut dikelirukan dengan neoliberalisme) mula dilihat berdiri di kalangan masyarakat negara-negara maju pada akhir abad ke-19. Ia dipengaruhi oleh utilitarianisme yang diasaskan oleh Jeremy Bentham dan John Stuart Mill. Ada ahli-ahli liberal yang menerima, sesetengah atau semuanya, teori penyalahgunaan Sosialis dan Marxis dan ulasan-ulasan terhadap "tujuan keuntungan" dan membuat kesimpulan bahawa kerajaan seharusnya menggunakan kuasanya untuk menyelesaikan masalah itu. Mengikut fahaman ini, semua individu perlu diberi perkhidmatan asas yang memuaskan seperti pelajaran, peluang ekonomik dan pelindungan daripada kejadian makro yang tidak ditentukan oleh mereka, seperti yang ditulis oleh John Dewey dan Mortimer Adler pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kepada liberalisme sosial, kemudahan-kemudahan ini dianggap sebagai hak. Ini adalah hak-hak positif yang berbeza secara kualitatif dari apa yang dibahaskan dari segi klasikal, iaitu hak-hak negatif yang hanya menuntut seseorang daripada mencabuli hak-hak orang lain. Menurut ahli-ahli liberalisme sosial, hak-hak positif ini perlu dibuat dan dibekalkan kepada orang ramai. Menurut mereka lagi, pastian hak-hak positif adalah objektif yang berterusan yang secara asasnya melindungi kebebasan. Sekolah, perpustakaan, muzium dan galeri seni hendaklah dibiayai dengan hasil cukai. Pemikir-pemikir liberalisme sosial menyokong sesetengah sekatan ke atas pesaing ekonomik seperti undang-undang "anti-trust" dan kawalan harga dan gaji. Kerajaan juga dianggap akan memberi kebajikan asas yang dibiayai dengan hasil cukai yang bertujuan untuk membolehkan penggunaan pekerja-pekerja yang terbaik di dalam masyarakat untuk menghalang revolusi ataupun hanya untuk kebaikan sejagat..

Solon
 "Solon mengambil berat tentang isu pengampunan hutang; itu adalah caranya untuk memperkuatkan kebebasan rakyat; tiada gunanya untuk undang-undang menyatakan bahawa semua lelaki mempunyai hak-hak yang sama adil tetapi yang miskin mesti mempergadaikan kebebasan mereka kerana hutang, dan, menyebabkan kerusi keadilan dan kesaksamaan, mahkamah, kerajaan dan tempat perbincangan awam dikuasai oleh orang-orang yang berharta." 

Daripada pendapat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pula menerangkan yang...

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:


Aspek Akidah


a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.


b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.


c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.


Aspek Syariah


a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.


b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.


c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.


d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul alHadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.


e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam..

--------------------------------------------------------------------------------------

Kita diberi akal fikiran untuk memikirkan dan meneliti kesemua yang kita terima.. Yang tinggal rajin atau tidak, seseorang itu tidak boleh meletakkan hak menghukum seseorang keatas seseorang jika tidak melalui proses perbincangan.. Hak manusia di beri sama adil oleh Allah s.w.t.. 

No comments: