22 July 2014
24 Ramadan
Pantas masa berlalu sehingga sedar tidak sedar sudah hampir berakhir bulan Ramadan, bulan di mana amalan yang dilakukan akan dilipatkali gandakan. Dalam 10 malam terahkir Ramadan ini, pasti ramai yang mencari malam Lailatuqadar dan pasti ramai yang akan menghidupkan malam malam tersebut dengan amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipatkali ganda.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti jelas dan nyata tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah,
jika dihitung dan dikira; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat
bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik
daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa
keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya lagi.
Malam Lailatulqadar merupakan
malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada semua
umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang Nya. Dan bagi mereka mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka
mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan
memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali
ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan ini.
Justeru itu, ayuh semua kawan-kawan ku yang beraga Islam marilah kita mencari dan merebut Lailatulqadar. Kata ini juga bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir" (hadis riwayat al-Bukhari). Dalam salah satu riwayat yang lain, dinyatakan juga bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Semoga, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita semua dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh tempoh hari yang telah berlalu pergi ini. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam mana kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
No comments:
Post a Comment